top of page

Impak Positif Pelaksanaan Cadangan Penambahbaikan


Sekiranya anda belum membaca post-post sebelum ini mengenai cadangan penambaikan kualiti pendidikan di Turki melalui penggunaan teknologi dalam P&P, anda boleh membaca terlebih dahulu untuk mendapatkan pemahaman yang jelas.

Tidak dapat dinafikan bahawa melalui penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dengan lebih konsisten dan apabila ia dijadikan satu elemen wajib dalam P&P, ia berupaya memberikan impak positif yang besar kepada pelajar sekali gus akan berjaya meningkatkan hasil dan pencapaian pendidikan pelajar.

Berikut merupakan beberapa impak positif yang utama :

Mewujudkan Suasana Pembelajaran Berorientasikan Murid


Penggunaan teknologi dalam kelas semasa P&P dapat membantu mengubah sistem pembelajaran pasif atau berorientasikan guru yang diamalkan di Turki kepada suasana pembelajaran yang aktif. Dengan menggunakan teknologi, pelajar akan menggunakan semua deria yang ada dalam proses pembelajaran. Sebagai contoh pelajar menggunakan tangan untuk menggunakan komputer bagi mencari maklumat atau untuk menggunakan aplikasi pembelajaran. Kemudian, mereka perlu fokus menggunakan mata dan telinga bagi membaca atau melihat video interaktif pembelajaran. Pergerakan pelajar akan menjadi lebih aktif tanpa hanya duduk pasif mendengar penerangan guru seperti melalui aktiviti simulasi contohnya permainan berasaskan teknologi, melalui penggunaan Atoms Express Toys.





Meningkatkan Minat dan Daya Tumpuan Pelajar


Suasana pembelajaran yang menarik dan berubah-ubah setiap hari dapat menghilangkan rasa bosan pelajar dengan cara pembelajaran tradisional yang diamalkan di Turki. Suasana pembelajaran yang menarik contohnya melalui pembelajaran menggunakan video interaktif, permainan atas talian akan meningkatkan minat pelajar terhadap sesuatu subjek. Apabila minat pelajar dan persepsi pelajar terhadap subjek tersebut berubah, pelajar akan dapat memberikan tumpuan dengan lebih baik.

Mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi & Kemahiran Menyelesaikan Masalah

Penggunaan teknologi dalam P&P contohnya melalui permainan atas talian yang menguji minda, disertai dengan pelbagai tahap kesukaran akan membolehkan kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam diri pelajar, ditingkatkan. Ketangkasan pelajar untuk menyelesaikan masalah dengan penyelesaian luar kotak juga akan dapat ditingkatkan kerana kebiasaannya permainan atas talian bagi apa-apa mata pelajaran contohnya seperti Sains dan Matematik, mempunyai durasi masa yang perlu dipatuhi bagi menjawab setiap soalan.

Membolehkan Pelajar Mengaplikasikan Pengetahuan Dalam Kehidupan Sebenar

Pembelajaran yang aktif melalui penggunaan teknologi membolehkan pelajar memahami setiap topik itu dengan lebih baik dan bukan dengan hanya kefahaman teori semata-semata yang biasanya disediakan dalam buku teks sekolah. Melalui pelbagai platform informasi digital yang ada, terdapat pelbagai artikel, informasi semasa mengenai sesuatu topik pembelajaran sekali gus membolehkan pelajar melihat perkaitannya dengan kehidupan sebenar secara lebih jelas. Pemahaman yang jelas, membolehkan para pelajar menggunakan ilmu pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian.




Memudahkan Pelajar Untuk Mengingati Maklumat Yang Diperoleh

Pembelajaran aktif berdasarkan pengalaman sebenar dan penggunaan setiap deria yang ada, membolehkan para pelajar memahami dengan jelas apa yang dipelajari. Pemahaman yang jelas memudahkan pelajar untuk mengingati maklumat yang diperoleh. Selain itu penggunaan teknologi mempunyai akses yang mudah dicapai contohnya melalui platform e-learn yang boleh diakses melalui telefon pintar dan di mana sahaja. Kemudahan ini membolehkan pelajar membuat ulang kaji dengan lebih kerap dan membolehkan ilmu pengetahuan berkenaan dipindahkan ke memori jangka panjang.


bottom of page