top of page

Tahap Pencapaian Pendidikan Di Turki

Tahap pencapaian semasa di Turki boleh dijadikan sebagai satu kayu ukur untuk melihat keberkesanan atau kelemahan sistem pendidikan sedia ada di Turki. Tahap pencapaian pelajar di Turki, boleh dilihat melalui beberapa aspek :

1. KEPUTUSAN PENCAPAIAN PEPERIKSAAN PERINGKAT KEBANGSAAN

Data pada tahun 2005 menunjukkan pencapaian mata pelajaran Sains, purata soalan yang dijawab dengan betul oleh pelajar hanyalah 4.79 daripada 25 soalan sains dalam Peperiksaan Awam Kemasukan Pendidikan Menengah (The Secondary Education Extrance Exam yang dipanggil sebagai OKS di Turki).


Daripada 786,284 pelajar, 65 076 pelajar mendapat kosong dalam peperiksaan tersebut yang menunjukkan hampir 8% pelajar tidak mempunyai kefahaman lansung mengenai soalan subjek sains berkenaan.


Statistik juga menunjukkan seramai 57 163 pelajar juga mendapat kosong dalam Peperiksaan Awam Kemasukan ke Universiti yang dikenali sebagai OSS di Turki. Purata pelajar yang dapat menjawab dengan betul soalan sains dalam peperiksaan berkenaan ialah 3.9 daripada 45 soalan.

2. KEPUTUSAN PENCAPAIAN PELAJAR BERDASARKAN PEPERIKSAAN PERINGKAT ANTARABANGSA (PISA TAHUN 2015)

Keputusan pelajar Turki dalam Programme for International Studies Assessment (PISA) menunjukkan Turki berada di kedudukan kedua terakhir dalam kalangan 35 buah negara OECD untuk mata pelajaran Matematik, Sains dan Kemahiran Membaca dan Turki menduduki senarai ketiga terakhir dalam 72 buah negara.


Nisbah pelajar cemerlang tinggi adalah 1.6%. Jumlah ini sebenarnya jauh ketinggalan berbanding peratus purata OECD iaitu sebanyak 15.3%.


Dalam ketiga-tiga mata pelajaran ini sebanyak 31.2% pelajar Turki berada pada tahap yang rendah. Hal ini bermakna, 1 daripada 3 pelajar berada dalam kategori markah terendah bagi PISA 2015.


(OECD ialah singkatan untuk Organisasi untuk Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi (OECD - Organisation for Economic Co-operation and Development) merupakan sebuah organisasi internasional dengan tiga puluh negara yang menerima prinsip demokrasi perwakilan dan ekonomi pasar bebas. 25 negara diantaranya dianggap sebagai negara berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia tahun 2006)


3. PENINGKATAN KADAR KECICIRAN

Walaupun pihak pemerintah berjaya meningkatkan jumlah kemasukan (enrolmen) pelajar, namun jumlah pelajar yang keciciran juga meningkat pada kadar yang sama.


Menurut data dari MONE, kadar keciciran pelajar daripada pendidikan formal di sekolah-sekolah menengah adalah 6.17% iaitu hampir 3500 000 pelajar meninggalkan sekolah pada tahun 2016. Ini boleh menjadi satu bukti signifikan bagaimana pelajar-pelajar di Turki, sebilangannya tidak mempunyai minat untuk belajar, dan memilih untuk berhenti belajar, dan bekerja.



4. PENINGKATAN PELAJAR YANG MEMILIH UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN KE LUAR NEGARA.

Pelajar yang pergi ke luar negara untuk melanjutkan pengajian adalah dua kali ganda setiap tahun sejak tahun 2009. Menurut statistik yang dikeluarkan , hampir seramai 90 000 pelajar Turki membelanjakan 1.5 billion dolar setiap tahun untuk belajar di luar negara.

Menurut Bank Dunia, Turki menduduki tempat ke-11 dalam kalangan negara-negara yang mempunyai jumlah pelajar di luar negara. Perkara ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi di Turki, tidak mempunyai kepakaran atau fasiliti yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negara-negara lain sehingga pelajar cemerlang di Turki, memilih untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.



bottom of page